Tiada Perjanjian Dengan Ahmad Zahid Tentang Had Jawatan, Kata Sulaiman

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata keputusan untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka sudah lama difikirkan sebelum ini.

Dalam masa yang sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu menegaskan beliau tidka didesak supaya meletakkan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-12, Selasa lalu.

“Desakan ini (letak jawatan) kerana hati saya, datangnya daripada naluri hati saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Ramadan Parlimen Masjid Tanah, semalam.

Semalam, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan UMNO telah mencadangkan nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri baharu.

Ia bagi menggantikan Sulaiman yang telah menyerahkan surat peletakan jawatan beliau kepadanya di Parlimen, Selasa lalu.

Dalam masa yang sama, Sulaiman juga memberitahu tidak wujud sebarang perjanjian antara dirinya dan Ahmad Zahid berkenaan tempoh memegang jawatan itu.

“Tak ada (perjanjian dengan Ahmad Zahid) betul…dalam bulan puasa tak boleh cakap bohong, saya cakap ikhlas. Memang saya tak mahu dah (jawatan).

“Bagilah pada orang lain pula…oh tidak (sedia ke jawatan Pusat) saya nak jaga DUN, kembali kepada kehidupan normal macam dulu,” katanya.

Menjawab soalan adakah beliau pernah mengusulkan surat peletakan jawatan kepada Ahmad Zahid sebelum ini, beliau berkata, perkara itu sudah banyak kali diberitahu kepada Timbalan Perdana Menteri itu.

“Cakap (letak jawatan dah banyak kali)…keputusan ini dah lama saya buat sebab itu dulu pun saya pernah cakap saya sepenggal cukuplah buat apa lama-lama.

“Saya harap siapa sahaja pengganti (Ketua Menteri) selepas ini, kalau dia (Ab Rauf) buatlah yang terbaik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles