Khaled Nordin Tawar Diri Pertahan Jawatan Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, hari ini, mengumumkan untuk mempertahankan jawatan disandangnya ketika ini pada pemilihan UMNO bulan depan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat sebagai usaha bersama barisan kepemimpinan untuk memulihkan kembali parti dan kepercayaan penyokong yang hilang, selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).  

“Saya ingin umumkan penawaran diri saya sebagai Naib Presiden UMNO bagi penggal 2023 sehingga 2025. Tujuannya adalah semata-mata untuk berkhidmat dan meneruskan khidmat kepada parti.

“Penawaran diri ini, saya sedar dalam keadaan dan saat parti berada dalam kedudukan yang tidak terbaik, dianggap jauh daripada orang Melayu,” katanya menerusi satu rakaman video. 

Mohamed Khaled berkata, beliau tekad mengembalikan kepercayaan yang hilang dalam kalangan orang Melayu terhadap UMNO dan ia wajar menjadi fokus utama semua ahli.

“Dengan bekerja bersama semua yang percaya bahawa parti yang lemah seperti parti kita pada hari ini, haruslah kita sama usaha bangkitkan kembali.

“Saya berharap mendapat keizinan semua agar saya dapat meneruskan ikhtiar untuk kita memeta perjalanan parti kita ini untuk masa kini dan masa akan datang,” katanya.

Pengumuman itu menjadikan beliau pemimpin UMNO pertama yang mengesahkan dirinya bertanding merebut jawatan nombor tiga parti.

Selain Mohamed Khaled, beberapa nama pemimpin juga dijangka mengesahkan saingan mereka bagi merebut jawatan nombor tiga UMNO itu dalam masa terdekat ini.

Antaranya, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said; penyandang Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad, semalam memaklumkan seramai 111 calon sudah mendaftarkan diri untuk pertandingan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Wanita serta sayap Pemuda dan Puteri, setakat kelmarin.

BBerkaitan

Latest articles