Selepas Tiga Tahun Dipecat, Lokman Kembali Jadi Ahli UMNO, Kekal Ahli MKT

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi membuat keputusan membatalkan pemecatan Datuk Lokman Noor Adam sebagai ahli parti tersebut.

Menurut Lokman, pembatalan itu dimaklumkan menerusi panggilan telefon daripada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Dengan keputusan itu, Lokman kembali menjadi Ahli MKT UMNO.

Selain itu beliau juga layak bertanding pada pemilihan UMNO yang sedang berlangsung.

“Alhamdullilah baru terima panggilan daripada Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden UMNO yang memaklumkan bahawa MKT UMNO malam ini telah membatalkan pemecatan saya.

“Dan kini saya kembali sebagai Ahli MKT UMNO. Terima kasih presiden, timbalan presiden, ahli MKT dan semua yang mendoakan saya.

“Dengan pembatalan ini, hak saya untuk bertanding dalam pemilihan kali ini telah dikembalikan,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Lokman, melalui hantaran yang sama turut berkongsi surat pembatalan berkenaan yang bertarikh 16 Februari 2023 dan ditandatangani oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Lokman telah menghantar rayuan untuk membatalkan pemecatan pada 3 Januari lalu, selepas dipecat pada 7 Februari 2020.

Pemecatan Lokman dipercayai berkaitan dengan pendedahan rakaman audio yang didakwa menggambarkan percubaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meyakinkan pemimpin parti bekerjasama dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

BBerkaitan

Latest articles