Kenyataan Menteri Konon Tiada Sekatan Akaun Pengguna Media Sosial Tak Boleh Dipercayai

KUALA LUMPUR: Pembangkang hari ini mendakwa mempunyai bukti yang kerajaan menggunakan kuasa untuk ‘menutup mulut’ pengkritiknya di media sosial.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan juga mendakwa kenyataan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bahawa kerajaan tidak akan meminta mana-mana penyedia platform media sosial untuk menyekat akaun penggunanya sebagai diragui dan tidak boleh dipercayai.

Menurut Wan Saiful, terdapat aktivis media sosial menerima notis daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk disiasat pada 19 Januari lalu dan notis yang meminta kata laluan bagi telefon pintar dan media sosial.

Bahkan seorang ahli Parlimen didakwa dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kandungan yang dikongsi di media sosial.

“Saya sukar nak percaya jawapan menteri. Saya ada bukti kerajaan PH-BN ini menggunakan kuasa dan agensi bukan nak jaga rakyat tetapi diri sendiri dan kerajaan sendiri

“Ada notis diberikan kepada aktivis media sosial yang memihak Perikatan Nasional,” kata Wan Saiful dalam sidang media di lobi Parlimen.

Dakwaan yang sama dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau mengecam tindakan yang dianggap sebagai satu bentuk ancaman dan provokasi terhadap pengguna media sosial.

“Terbaharu satu notis yang dikeluarkan terhadap Mohd. Hanif yang diminta untuk hadir oleh SKMM hari ini pada 1.30 di Bandar Hilir.

“Ini merupakan satu tindakan yang saya kira usaha untuk menyekat kebebasan terhadap anak-anak muda.

“Saya ingin bertanya kepada kerajaan, adakah mereka sedang menyekat kebebasan bersuara terhadap anak muda yang telah diperjuangkan oleh PH sendiri dalam manifesto mereka?” soalnya.

Reaksi kedua-dua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu dibuat selepas Fahmi, pada hari ini memberitahu Dewan Rakyat yang kerajaan tidak akan meminta mana-mana penyedia platform media sosial untuk menyekat akaun penggunanya.

Sebaliknya perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk platform media sosial membawa kepada sekatan ke atas kandungan tertentu bukannya pemilik akaun secara individu.

Fahmi juga berkata, sebanyak 197 kandungan – termasuk 101 di TikTok – telah diturunkan dari platform media sosial sepanjang bulan lalu.

BBerkaitan

Latest articles