“Teramat malang apabila ada orang Islam sendiri yang menjadi juru cakap ultra kiasu terutama dalam perkara mungkar,” luah Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Hentikan segera daripada menjadi tali barut ultra kiasu, tegas beliau yang memperingatkan bahawa rakyat Malaysia berada dalam keadaan aman dan selamat kerana pihak polis atau pihak yang menjaga keselamatan inilah yang bercekang mata menjaga keselamatan negara.
Ridhuan Tee juga menyifatkan tindakan Ahli Parlimen beragama Islam itu adalah bodoh dan menegaskan ini adalah berkait soal etika dan peradaban.
“Ini ajaran dan budaya mana? Cuba jawab. Budaya Cina bukan, India bukan. Orang barat pun lebih bersopan kadangkala. Kamu ini mengaji ke tidak”
“Kalau yang bercakap ini, orang bukan Islam tidak apa lagi, tetapi pemimpin Melayu Islam,” luah beliau yang turut mempersoalkan “Kamu ikut budaya mana? Kaji budaya bangsa dan agama mereka di negara ini? Budaya bangsa dan agama mana yang menggalakkan berpakaian macam pelacur ini”
Tambah beliau, sekiranya perkara ini dibiarkan, maka suatu hari nanti sekiranya ada yang datang bertelanjang juga akan dibenarkan masuk atas tujuan untuk membuat laporan.
Justeru, Ridhuan Tee memuji tindakan anggota polis berdepan dengan situasi tersebut dan menyifatkan insiden yang terjadi baru-baru ini adalah insiden kecil yang sengaja diperbesarkan dan dimanipulasikan beritanya oleh ultra kiasu.
Baru-baru ini, tular dakwaan melarang seorang wanita membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung kejadian kemalangan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan memaklumkan dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, wanita berusia 30-an yang datang ke IPD Kajang dinasihat menukar pakaian bersesuaian sebelum dibenar masuk ke kawasan IPD Kajang.
Walau bagaimanapun, wanita yang memakai seluar pendek paras paha (di atas paras lutut) itu tidak puas hati dan bertindak melakukan provokasi terhadap anggota polis yang menasihatinya.
“Untuk makluman, IPD Kajang berurusan dengan anggaran 300 orang sehari dan setakat ini, tiada apa-apa isu yang timbul mengenai pakaian. Malah, gambar etika pakaian pelawat ketika berurusan dalam premis kerajaan juga dilekatkan pada Pos Kawalan sebagai rujukan,” kata Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan.