Anwar Kepada Muhyiddin – Beku Akaun Bukan Hal Baru

KUALA LUMPUR: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun milik sesebuah parti politik bukanlah satu perkara baharu di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyorot kisah bagaimana UMNO sendiri pernah dibekukan akaunnya dan ketika itu ia mendapat sokongan kuat daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk agensi penguatkuasaan itu menjalankan siasatan.

Presiden PKR itu menegaskan, semua pemimpin tidak perlu takut untuk disoal siasat jika parti mereka benar-benar bersih.

“Masa akaun UMNO dibekukan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi Perikatan Nasional) kuat mempertahankan profesionalisme SPRM.

“Sekarang akaun melibatkan Bersatu, jumlahnya besar dan dikaitkan beberapa keputusan kerajaan di bawah pimpinan beliau.

“Sepatutnya mereka bersiap untuk berikan penjelasan yang mana perlu dan jangan ganggu badan penguatkuasaan seperti PDRM, SPRM, LHDN,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PKR di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beberap akaun milik parti Bersatu masih lagi dibekukan setakat hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih berjalan dan pembekuan akaun belum dibatalkan.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan jumlah simpanan dalam akaun yang dibekukan SPRM kerana pegawai penyiasat masih dalam proses melaksanakan tugas.

Pada minggu lalu, SPRM mengesahkan telah membekukan beberapa akaun milik parti Bersatu baru-baru ini.

BBerkaitan

Latest articles