Ahmad Faizal Yakin Dengan Kemampuan Nurul Izzah

KUALA LUMPUR: Pernah menjadi sebahagian ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), pastinya pelantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri mampu memberi manfaat.

Perkara itu diakui oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di kala beberapa pihak dalam kalangan pembangkang mempertikai tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik anaknya sendiri.

Ahmad Faizal dalam pada itu menggesa semua pihak berlapang dada dan memberi peluang kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bagi membuktikan kemampuannya dalam memikul tanggungjawabnya.

Beliau berkata meskipun tanggungjawab itu bukan satu tugas mudah, pengalaman yang ada pada Nurul Izzah mampu memberi nilai tambah dalam menyumbang kepada penyelesaian pelbagai masalah membabitkan rakyat.

“Selain lantikan (Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan) yang dibuat oleh Perdana Menteri, Nurul Izzah juga mempunyai dua ijazah dan pernah menganggotai Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

“Tentunya saya fikir kita boleh meletakkan keyakinan kepada beliau (Nurul Izzah) untuk menyelesaikan segala masalah membabitkan hal ekonomi, kewangan, kos sara hidup yang melingkari rakyat buat masa ini,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Kenduri Kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Parlimen Tambun di Dewan Orang Ramai Sungai Tapah, hari ini.

Pada 29 Jan lepas, Nurul Izzah mendedahkan beliau telah dilantik menyandang jawatan berkenaan berkuat kuasa 3 Jan dan matlamat utamanya adalah untuk memperbaiki keadaan ekonomi rakyat selain isu kemiskinan, pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) di negara ini.

BBerkaitan

Latest articles