Anwar Yakin Indeks Rasuah Di Malaysia Akan Jadi Baik Tahun Depan

Kerajaan yakin kedudukan negara ini dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) antarabangsa akan berada dalam keadaan lebih baik pada tahun hadapan.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata menyedari kedudukan yang merosot itulah maka kerajaan mengambil pelbagai tindakan tegas bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

“Sekarang ini mesej kita (kerajaan) adalah jelas. Saya percaya pada tahun depan akan ada perbezaan besar,” katanya kepada media di Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil hari ini.

Terdahulu Anwar menghadiri sambutan majlis Anugerah Sukan Negara. Jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang, dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 2021 manakala ratu terjun Pandelela Rinong dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan 2021.

Tengah hari tadi Transparency International (TI) membentangkan laporan mengenai CPI Malaysia yang menunjukkan kedudukan negara jatuh buat tahun ketiga berturt-turut.

Malaysia mendapat 47 mata daripada keseluruhan 100 mata. Pada 2021 negara ini mendapat 48 mata, berbanding 51 mata pada 2020 dan 53 mata pada 2019.

Ia menunjukkan Malaysia jatuh enam mata pada tahun lepas.

CPI menggunakan skala kosong sebagai negara yang sangat korup manakala 100 adalah sangat bersih.

Presiden TI Malaysia Muhammad Mohan berkata data menunjukkan negara ini menuju ke arah yang salah dalam kempen melawan rasuah, mendukung hak asasi dan demokrasi dalam sektor awam.

Kata Anwar kedudukan terkini negara dalam CPI itu menunjukkan ada masalah besar sedang dihadapi secara meluas, dari peringkat atasan sehingga ke bawah.

Justeru menurutnya kerajaan perlu bertindak tegas dan tidak bertolak ansur.

“Kerajaan ini masih baru lagi, tapi insya-Allah kita boleh (membaiki kedudukan) secara konsisten dan memberikan dukungan penuh kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia),” katanya.

BBerkaitan

Latest articles