KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii berpandangan tindakan parti memecat dan menggantung keahlian beberapa pemimpinnya malam kelmarin menamatkan “pertelagahan” sesama sendiri yang berlanjutan lebih empat tahun.
Apa yang penting pada ketika ini adalah usaha UMNO mengembalikan keyakinan rakyat yang perlu dilakukan sekarang selepas menoktahkan masalah dalaman.
“Selama empat tahun kita sibuk layan kerenah pemimpin kita sendiri, ada saja kenyataan yang tidak berdisiplin yang menunjukkan pergaduhan pandangan, pendapat.
“Orang tidak akan yakin kalau kita (UMNO) tidak menunjukkan penyatuan dan kesatuan.
“Apa yang kita (perlu) lakukan hari ini pada pandangan saya, kita kena ada gerak kerja lima tahun untuk kembalikan keyakinan rakyat,” katanya memetik Malaysikini.
Dua hari lalu, mesyuarat MKT tertinggi UMNO memecat bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan ahli MKT, Tan Sri Noh Omar atas sebab melanggar disiplin parti sewaktu PRU15.
Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas naib presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas ketua penerangan Shahril Sufian Hamdan juga antara pemimpin UMNO yang digantung selama enam tahun.
Ditanya sama ada keputusan UMNO memecat dan menggantung nama-nama besar parti itu akan memberi kesan kepada survival UMNO, Razlan berkata tiada pemimpin yang lebih besar berbanding Umno dan menjadi tanggungjawab semua pihak mempertahankan parti.
“Nama-nama besar semua ada tanggungjawab, pada diri dan parti. Jika kita buat kenyataan yang popular tapi tidak menguntungkan parti, itu tidak bertanggungjawab.
“Nama-nama besar sepatutnya fikir terlebih dulu… KJ kata parti ini telah sesat. Bila buat kenyataan sebegitu, apakah KJ telah fikir kesannya kepada parti.
“Kesan daripada kenyataan nama besar itu menyebab orang melihat parti ini caca marba,” katanya lagi.