Bukan Sekarang, Ahmad Zahid Akan Jelaskan Isu Pemecatan, Penggantungan Nanti

KUALA LUMPUR: “Tunggu saya akan jawab. Saya akan jawab dalam satu majlis nanti.”

Demikian jawapan ringkas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam tadi yang menggantung serta memecat beberapa pemimpinnya.

Ahmad Zahid ditemui di Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2023 di Dataran Merdeka hari ini.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut berangkat hadir pada majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Mereka yang disingkirkan adalah bekas pengerusi perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid turut memutuskan tindakan penggantungan terhadap Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif dan Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.

Selain itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Fathul Bari Mat Jahya diberikan surat tunjuk sebab.

BBerkaitan

Latest articles