KUALA LUMPUR: Sumber UMNO malam tadi memaklumkan bekas Ketua Pemuda UMNO yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin dipecat keahliannya dari UMNO.
Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sementara itu, Ketua UMNO bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan digantung keahliannya.
Hishammuddin dan Shahril mengikuti senarai pemimpin terbaru yang digantung, selepas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar memaklumkan menerima keputusan sama malam ini.
Turut digantung keahlian selama enam tahun, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang.
Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ditemui media enggan berkongsi senarai pemimpin yang dipecat atau digantung, sebaliknya menyatakan keputusan yang dibuat MKT malam ini terpaksa dilakukan walaupun pahit.
Beliau juga menjelaskan, semua tindakan disiplin yang dikenakan juga sudah mengikut saranan Lembaga Disiplin UMNO.