KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan yang baru untuk UMNO adalah penting untuk menjadikan parti keramat itu kekal relevan mendapat sokongan rakyat, terutama generasi muda.
Tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, barisan pemimpin baharu juga dapat mengemukakan tawaran baharu yang menarik untuk kumpulan berkenaan.
Kegagalan menukar kepimpinan parti hari ini, hanya memudaratkan parti, sekaligus menggelapkan perjuangan UMNO selama ini.
“Hari ini saya mengadakan perjumpaan khas bersama-sama UMNO Siswa dan Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.
“Masa depan UMNO bergantung kepada sokongan golongan muda… tanpa sokongan mereka, gelaplah masa depan UMNO.
“Hanya UMNO berwajah baharu berserta tawaran baharu mampu menarik golongan muda menyokong UMNO,” katanya menerusi Twitter, hari ini.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 hari ini meluluskan lapan usul termasuk satu usul tambahan iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang masing-masing disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan, tidak dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.
Semua usul itu diluluskan selepas majoriti perwakilan bangun dan mengangkat tangan bagi menyokong usul berkenaan dalam sesi undian yang dikendalikan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin.
Terdahulu dalam sidang media di WTC, Ismail Sabri bimbang dengan kelulusan usul tambahan itu yang dikhuatiri boleh memberi kesan terhadap usaha untuk memulihkan keyakinan generasi muda serta orang Melayu terhadap parti.
Bekas Perdana Menteri itu juga berpendapat usul itu bertentangan dengan Perlembagaan UMNO, yang menetapkan semua jawatan dalam parti itu hendaklah dipilih setiap tiga tahun sekali.
Selain itu, katanya, ahli akar umbi dan pemimpin yang tidak jelas dan mahu mendapatkan kepastian dari sudut perundangan mengenai usul tambahan itu boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).