KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang untuk memastikan ia terus mendapat sokongan pengundi.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga mahu seluruh pihak di dalam parti memberi peluang sekali lagi kepada kepimpinan tertingginya untuk mengemudi layar pilihan raya.
Begitu juga untuk meneroka dinamik politik baru bersama Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH).
“Saya mohon kepada ahli UMNO bagi parti, peluang untuk menerokai dinamik politik semasa untuk kita pastikan survival (kelangsungan) parti jadi keutamaan. Supaya apa yang dilakukan pucuk pimpinan parti hanya semata-mata untuk memastikan kita mulakan langkah menghadapi PRU16.
“Beri peluang. Kita kalah (PRU) bukan menang. Kita masih diberikan ruang untuk dapat bersama dalam kerajaan sebab parti yang menang tak menang banyak kerusi. Jadi (mereka) bagi kami peluang. Parti lain dalam negara sudah pernah duduk bersama (dengan PH) dan kita lihat bagaimana.
“Walaupun masuk (bersama PH), kita bukan bergabung. Kita bersama untuk menguruskan negara. Kita diberi mandat untuk duduk dalam kerajaan. Kita akan sedaya upaya pertingkatkan prestasi, terutama menteri daripada UMNO,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Mohamad juga tidak menolak bahawa pemimpin UMNO hari ini sedang memikul satu tanggungjawab besar untuk memulihkan keyakinan rakyat, khususnya ahli UMNO terhadap parti itu dan usaha ini mesti dilakukan secara bersama semua pemimpin termasuk di akar umbi.
“Di atas bahu saya, terpikul satu tanggungjawab. Kita tahu, kawasan yang dulu sebagai ‘fix deposit’ (simpanan tetap) dalam PRU14, tetapi ia sudah musnah (dalam PRU15).
“Jadi ini tanggungjawab saya. Sakit berpunca, mati bersebab. Apa puncanya, apa sebabnya. Kawasan yang ada kem tentera akan saya lawati. Baliklah ke kawasan kita, bina semula tembok kita yang pecah.
“Mari kita pungut batu bata yang bersepah, untuk kita bina semula benteng UMNO, benteng baharu untuk kita dalam PRU16,” katanya.