KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu dan barisan exco kerajaan negeri dikecam kerana “memboikot” kehadiran Perdana Menteri ke Terengganu, kelmarin.
Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Mohd Sufian Mat Ali menyifatkan tindakan kerajaan pimpinan PAS-Perikatan Nasional (PN) itu sebagai satu langkah biadab dan tidak menghormati tetamu.
Malah, alasan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar kononnya tidak ada makluman rasmi dari Pejabat Perdana Menteri adalah tidak berasas sama sekali apatah lagi Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja hadir menyambut Datuk Seri Anwar Ibrahim.
”Tindakan kerajaan negeri ini ibarat satu pengisytiharan perang antara kerajaan negeri dan pusat, yang semestinya tidak bagus kepada rakyat negeri Terengganu,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau meminta Ahmad Samsuri dan barisan exco bermuhasabah dan memperbaiki profesionalisme mereka bagi kepentingan negeri berbanding politik mereka.
Sedangkan hubungan antara kerajaan negeri dan pusat seharusnya dilangsung dengan baik demi kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.
”Pada era pentadbiran Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan, walaupun negeri itu dianak tiri oleh Kerajaan Pusat, sekali pun tidak Menteri Besar ketika itu membelakangi Perdana Menteri yang hadir sebagai tetamu,” katanya.