Jika Isu ‘Poster Boy’, Calon Burukkan Parti Sendiri Berpanjangan, Bagaimana UMNO Hendak Pulih?

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh pihak di dalam parti menghentikan tindakan tuding-menuding dan mencari kesalahan terhadap kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sekiranya keadaan itu berterusan, Ahmad Zahid percaya jalan memulihkan UMNO semakin sukar.

Tegasnya, apa yang penting kini adalah untuk bergerak ke hadapan dan mendepani cabaran baharu susulan perubahan landskap politik di Malaysia ketika ini.

“Kita boleh sahaja menggariskan pelbagai alasan dan punca dengan menuding jari ke sana sini, tetapi janganlah kita menjadi telunjuk lurus kelingking berkait.

“Saya boleh sahaja gariskan bahawa adanya kempen pilihan raya calon kita memburukkan partinya sendiri, UMNO katanya parti korup, sudah rosak, sudah sesat dan pelbagai nista dilemparkan, hingga ucapannya dijadikan modal pembangkang menyerang kembali UMNO.

“Boleh juga saya menyebut ‘poster boy’ perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana beliau menjadi wajah hadapan parti dalam PRU-15.

“Jika ini hendak dijadikan polemik, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Kita akan terus mencari-cari kesalahan,” katanya dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan semua ahli dan pemimpin parti supaya berhenti menafikan usaha parti dalam menghadapi pilihan raya umum kerana semuanya persiapan sudah dibuat sebaik mungkin.

BBerkaitan

Latest articles