Buka Ruang Pertandingan, Jangan Matikan Demokrasi Dalam UMNO – Khairy

KUALA LUMPUR: UMNO seharusnya membuka ruang jawatan presiden untuk dipertandingkan bagi mengekalkan demokrasi dalam parti politik Melayu itu.

Timbalan Ketua UMNO bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, beliau yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seorang pejuang malah tidak gentar untuk menghadapi pemcabar sekiranya jawatan presiden dipertandingkan.

“Hentikan kegilaan ini, saya rasa presiden seorang pejuang (fighter) yang tidak gentar menghadapi pencabar.

“Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam UMNO,” katanya melalui muat naik di Instagram.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan 140 Ketua UMNO Bahagian yang menyokong supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei depan.

Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah, berkata ia sebagai persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), sekali gus memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Semua 140 ketua bahagian ini sebulat suara menyokong dua jawatan utama UMNO tidak perlu dipertandingkan, selain berharap Ahmad Zahid dapat menerima pandangan kami ini,” katanya yang juga Ketua UMNO Wangsa Maju pada sidang media, semalam.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media semalam, berkata PAU2022 tidak akan memutuskan tarikh bagi pemilihan parti yang mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas PRU15.

Katanya lagi, tarikh bagi tujuan itu akan ditentukan beberapa minggu lagi memandangkan UMNO masih mempunyai masa untuk mengadakan pemilihan sebelum 19 Mei depan.

BBerkaitan

Latest articles