KUALA LUMPUR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya tidak ada sebarang gerakan untuk menukar kepimpinan parti, seperti yang digambarkan di dalam #RESETUMNO.
Malah ia juga tidak mencerminkan pendirian keseluruhan ahli UMNO, tegasnya lagi.
Khaled dalam masa yang sama memberitahu bahawa UMNO sentiasa bersikap terbuka dan sedia menerima pandangan sesuai dengan semangat demokrasi.
“UMNO ini satu parti yang mengamalkan demokrasi dan ahlinya ramai, ada macam-macam pandangan, pendirian dan kempen.
“Tidak hairan ada yang menggunakan cara itu untuk menyampaikan hasrat, manakala ramai juga diam, tetapi mempunyai hasrat, tapi kita tidak melakukan perkara yang sama.
“Tak semestinya apa yang berlaku itu menggambar dan mencerminkan keseluruhan pandangan dan pendirian ahli UMNO,” katanya memetik MalaysiaGazette.
Terdahulu tular poster bertajuk #RESETUMNO yang memaparkan beberapa pemimpin penting dalam UMNO, yang menamakan Datuk Johari Abdul Ghani, Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Hasni Mohammad, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Dr Norani Ahmad, Shahril Hamdan dan Masliha Harun.
Kononnya wujud gerakan baharu menjelang pemilihan UMNO yang bakal diadakan pada tahun ini.