KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rahman Dahlan berpendapat tidak ada keperluan untuk membuat sebarang perubahan di negeri Sabah.
Ini kerana kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, rakyat Sabah sudah tentu tidak mahu ada pergolakan politik berlaku di negeri itu ketika ini.
Bagaimanapun ujar beliau perkara sudah pun berlaku, justeru satu jalan perlu dicari untuk menyelamatkan keadaan itu.
“Oleh kerana keadaan telah berlaku kita cuba menyelamatkan keadaan…kita masih lagi bersama dengan kerajaan GRS hari ini dan pemimpin-pemimpin UMNO masih lagi berada dalam kabinet.
“Tetapi saya mahu lihat ke hadapan bahawa kita ada masa lagi lebih kurang dua tahun setengah untuk memastikan rakyat Sabah dan negeri Sabah dapat dibela oleh kerajaan sekarang ini termasuk UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi Taklimat Presiden UMNO bersama lebih 3,000 perwakilan parti di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Dahlan yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dapat menyelesaikan kemelut di antara pemimpin-pemimpin UMNO di Sabah.
Rahman Dahlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran itu berkata, apa yang berlaku sudah pun berlaku, justeru itu sekarang adalah tempoh bertenang.
“Tentang pergeseran pendapat di antara pemimpin itu saya pasti Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) akan dapat merungkaikannnya.
“Tetapi buat masa ini tempoh bertenang la apa yang berlaku sudah berlaku. Keputusan juga telah dibuat…kerajaan negeri masih lagi berfungsi,” katanya.
Pada masa sama, beliau berharap UMNO Sabah terus bergerk ke hadapan untuk menjadi juara kepada rakyat di negeri Sabah.
Kemelut politik Sabah bermula apabila Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin menarik sokongan UMNO-Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan GRS pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Suasana itu berlanjutan apabila Hajiji mendakwa masih mendapat sokongan 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), manakala Bung Moktar meneruskan usahanya untuk menumbangkan kerajaan GRS.