KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil menjelaskan parti perlu meminda perlembagaannya bagi membolehkan jawatan presiden dan timbalan presiden dipertimbangkan pada pemilihan nanti.
Bagaimanapun Isham memberitahu setakat ini belum ada cadangan untuk berbuat demikian.
Isham, dalam masa yang sama percaya desakan supaya dua jawatan tertinggi UMNO itu dipertandingkan hanya datang dalam kalangan mereka yang pro Perikatan Nasional (PN).
Isham selebihnya enggan mengulas lanjut berhubung isu ini, kerana percaya ia lebih baik dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan.
“Apa yang saya boleh katakan, isu ini dibangkit dan dimainkan oleh ‘orang’ dalam parti sendiri. Oleh mereka yang pro kepada PN,” katanya pada sesi dialog dalam majlis ramah mesra dan makan tengah hari Ketua Penerangan UMNO di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTC).
Sebelum itu, beliau minta pihak berkenaan melihat pemilihan jawatan tertinggi pada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Pas dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Soal beliau, adakah tiga parti berkenaan mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden masing-masing?
“Kalau jawatan tertinggi tiga parti ini tidak dipertandingkan, kenapa tidak pertikai? Kenapa bising kepada UMNO sahaja?,” katanya.