KANGAR: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata kerajaan negeri sedang meneliti untuk melaksanakan penutupan premis perjudian di negeri itu.
Mohd Shukri berkata, langkah penutupan premis perjudian dan loteri di negeri itu seperti mana yang dilaksanakan oleh beberapa buah negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan.
“Bagaimanapun, buat masa ini saya masih meneliti berhubung aspek peraturan untuk kita (kerajaan negeri) ambil tindakan seterusnya.
“Insya-Allah, jika selesai penilaian itu dan dengan nasihat Penasihat Undang-Undang Negeri, saya akan isytiharkan sesuatu selepas ini,” katanya selepas Majlis Amanat Menteri Besar Perlis Bersama Penjawat Awam Negeri Tahun 2023 di Dewan 2020, di sini, hari ini.
Mohd Shukri berkata, langkah penguatkuasaan itu sememangnya sudah dirancang oleh kerajaan negeri sebaik mendapat mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Saya akan pastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera tanpa unsur perjudian.
“Jadi, kita akan tunggu dan kaji dulu sebelum langkah berkenaan kita laksanakan,” katanya.
Pada masa sama, Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling mencadangkan supaya sebelum langkah itu dilaksanakan kerajaan negeri boleh mengetatkan penguatkuasaan perjudian dalam kalangan masyarakat Islam.
“Kerajaan negeri boleh mengetatkan penguatkuasaan pertaruhan dan perjudian dalam kalangan masyarakat Islam di negeri ini.
“Malah, kerajaan negeri juga boleh memberi advokasi atau pengajaran kepada masyarakat mengenai kemudaratan kegiatan berjudi ini” katanya.