KUALA LUMPUR: “Saya sesungguhnya kesal dengan apa yang berlaku, latihan yang saya adakan mempunyai pelbagai jenis antaranya pendekatan psikologi, intensif dan fizikal dalam membentuk pemain saya.”
Itu kenyataan jurulatih pasukan bola tampar Melaka B-14 (Wanita), Saiful Hadee Amar yang membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung insiden keterlanjurannya menampar dua pemainnya sehingga menjadi tular di media sosial baru-baru ini.
Guru sekolah berusia 44 tahun itu mengadakan pertemuan dan sesi mohon maaf bersama keluarga dua remaja perempuan berumur 14 tahun itu di pejabat Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) di Krubong.
Saiful Hadee memaklumkan beliau bersedia dan reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan dan berharap ia menjadi pengajaran buatnya.
“Saya sesungguhnya kesal dengan apa yang berlaku, latihan yang saya adakan mempunyai pelbagai jenis antaranya pendekatan psikologi, intensif dan fizikal dalam membentuk pemain saya.
“Ia demi menaikkan semangat mereka sebagai seorang pemain yang berjuang bagi mencari setiap kemenangan. Pemain-pemain saya adalah keluarga dan sumber kekuatan saya tanpa mereka saya tidak boleh menjadi jurulatih,” katanya.
Mesyuarat khas berhubung isu berkenaan dipengerusikan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Presiden Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA), Hean Boon Yeow dan Pengarah MSN negeri, Asri Ninggal.
Mengulas lanjut, jurulatih itu mendakwa dirinya tidak berniat untuk mengambil tindakan sehingga mendatangkan kecederaan sebaliknya untuk menaikkan lagi semangat dan memotivasikan pemain-pemainnya dalam setiap perjuangan.
“Saya memohon maaf kepada semua pemain terutama sekali dua pemain yang terlibat, ibu bapa pada kelab saya sendiri, Mastanah, MAVA, Persatuan Bola Tampar Melaka dan komuniti bola tampar seluruh Malaysia.
“Saya sedia dan reda dengan segala keputusan yang bakal dikenakan kepada saya dan berharap perkara ini menjadi pengajaran pada diri saya sendiri,” katanya lagi.