PN Bincang Kerjasama Dengan BN Untuk PRN Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan bermesyuarat Sabtu ini akan turut membincangkan soal kerjasama membabitkan gabungan itu dengan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution debgan menambah, satu post-mortem akan dilakukan bagi meneliti semula kesemua pencapaian yang diraih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Pada 7 Januari ini, kita akan adakan mesyuarat rasmi yang pertama untuk tahun ini. Saya percaya kita akan bincang post-mortem PRU15 yang lalu dan juga persiapan kita menghadapi PRN di enam negeri yang akan berlangsung kurang enam bulan dari sekarang,” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan rasmi ke Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.

Tambah Saifuddin, mesyuarat itu akan diadakan di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya pada pukul 4 petang.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri mengakui beliau jarang mengulas mengenai isu politik semasa menjalankan tugas rasmi namun reaksi itu diberikan bagi menjawab pertanyaan media.

Terdahulu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, kejayaan penubuhan Kerajaan Perpaduan sudah semestinya akan membawa kerjasama di peringkat negeri seperti yang berlaku di Perak dan Pahang.

PRN yang dijangka berlangsung kurang daripada enam bulan akan membabitkan negeri Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

BBerkaitan

Latest articles