Jika Hendak Kukuhkan Parti, Jawatan Presiden, Timbalan Tak Perlu Dipertandingkan

KUALA LUMPUR: Jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak perlu dipertandingkan sebaliknya parti itu perlu fokus kepada usaha pengukuhannya selain mengembalikan semula kepercayaan rakyat.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, turut mengingatkan ahli parti supaya tidak terpedaya dengan sesetengah Ahli Parlimen yang menang kerusi di bawah tiket parti namun didakwa khianat dan bersekongkol dengan pihak lawan.

Malah katanya, Ahli Parlimen berkenaan diketahui sudah menggerakkan usaha mengangkat diri mahu menjadi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Sekali lagi saya tegaskan, usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tak dipertandingkan demi pengukuhan parti, perpaduan dan ke arah usaha pemulihan sokongan terhadap UMNO.

“Saya nak ingatkan ahli UMNO supaya tak terpedaya dengan sesetengah Ahli Parlimen parti yang menang bawah tiket UMNO namun selepas menang melupakan parti, macam kacang lupakan kulit. Bukan sahaja ada yang melompat malah lebih teruk, khianat kepada parti dengan bersekongkol dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Baik kita fokus kepada macam mana nak kukuhkan kembali UMNO dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas parti difitnah teruk selama ini.

“Lagipun dengan kedudukan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, ia adalah platform terbaik untuk mendekati dan membina semula keyakinan penduduk luar bandar terhadap keupayaan UMNO membela rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Minggu lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan atau tidak, biarlah perwakilan yang menentukannya..

Bercakap dalam program bual bicara bertajuk Rekonsiliasi Politik – Apa Untung Pada Negara, Presiden UMNO itu dilaporkan mengakui beliau seorang yang demokratik.

“Jadi saya seorang yang demokrat. Saya arahkan kepada perwakilan untuk menentukan,” katanya dalam program bual bicara itu.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut mempersoalkan siapa calon yang mahu diangkat menjadi Presiden dan Timbalan Presiden jika dua jawatan itu dipertandingkan pada pemilihan UMNO yang dijangka diadakan pertengahan tahun ini.

“Kalau nak buat pertandingan pun, kita nak angkat siapa jadi Presiden, Timbalan Presdien baharu. Kita nak harapkan orang pengecut yang paling awal lari lintang pukang selepas UMNO kalah pada PRU14 dulu atau Kita nak bergantung kepada orang yang gagal jadi Perdana Menteri Kesembilan atau kita nak serahkan nasib parti kepada orang yang sibuk jadi broker yang selama ini nak jual maruah UMNO kepada parti lawan.

“UMNO nak pilih seorang individu yang bergegar-gegar mahu gantikan tempat Presiden ketika berceramah di pentas kempen PRU15 lepas tapi akhirnya kalah di negeri liberal. Sudahlah dia sendiri ditolak di negeri sendiri, lepas itu diberi peluang pula bertanding di negeri lain kononnya dia cukup popular tapi tumbang juga.

“Kita kena fikirkan banyak benda sebelum nak ikut emosi. Cakap nak tukar pemimpin memang senang tapi nak pastikan pemimpin yang baharu angkat itu dapat bela nasib parti, belum tentu,” katanya.

Nur Jazlan berkata, pertandingan dua jawatan utama itu dalam keadaan sekarang hanya akan membawa perpecahan dan menggugat perpaduan ketika UMNO dalam proses pemulihan selepas PRU15.

Katanya, jika disorot sejarah penubuhan 70 tahun UMNO, hanya empat kali saja berlaku pertandingan untuk jawatan Presiden membabitkan Tunku Abdul Rahman vs Ahmad Fuad Hassan (1951); Tun Hussien Onn vs Sulaiman Palestin (1978); Dr Mahathir vs Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah (Ku Li) (1987) dan Ahmad Zahid vs empat pencabar (2018).

“Kita boleh lihat setiap kali berlaku pertandingan jawatan Presiden, pastinya berlaku perpecahan dalam UMNO.

“Adakah kita sanggup nak lihat sekali lagi UMNO berpecah dan ada puak-puak atau 2 pasukan seperti 40 tahun lalu. UMNO sudah banyak kali berpecah bermula dengan wujudnya PAS, Semangat 46, PKR dan BERSATU. UMNO tak mampu nak terima perpecahan besar sekali lagi kerana kalau kita pecah lagi maka jangka hayat UMNO tak akan lama.

“Proses tolak ansur itu jugalah yang menjamin kestabilan dan pengukuhan UMNO sehinggalah pada 2018 apabila ada pencabar yang mahukan jawatan Presiden selepas UMNO serta BN kalah pada PRU14,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles