SHAH ALAM: Wisma Jakel di Seksyen 7 di sini, sekali lagi mengalami kebakaran membabitkan deretan bangunan yang sama dengan gedung pakaian itu.
Kebakaran itu berpunca daripada stor penyimpanan langsir, pada tengah malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada 12.40 tengah malam.
“Api berjaya dipadamkan keseluruhannya oleh pihak bomba pada 3.07 pagi dan kerja-kerja overhaul sedang dilakukan. Tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Seramai 43 anggota dan pegawai ditugaskan untuk memadamkan kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Sebelum ini, gedung tekstil terkemuka itu dilaporkan terbakar awal pagi 1 Januari lalu dan bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada 7.08 pagi sebelum kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira 10 jam kemudian.
JBPM Selangor kemudian menggerakkan Unit Anjing Pengesan (K9) bagi menjalankan kerja-kerja forensik untuk mengenal pasti punca insiden, semalam.
Difahamkan, laporan siasatan penuh mengenai punca kebakaran akan diperolehi dalam tempoh sebulan.