Bajet 2023 Baru Ambil Kira Semua Manifesto Parti Kerajaan

Kerajaan akan meneliti dan melakukan penambahbaikan semula terhadap Bajet 2023 dalam merangka bajet baharu yang dijangka dibentangkan pada 24 Februari depan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penambahbaikan itu akan merangkumi komitmen manifesto semua parti yang ada di dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, urusetia khas bajet baharu akan mempertimbangkan manifesto parti berkenaan yang positif untuk dinilai dalam usaha menambah baik bajet baharu.

“Tentunya perkara yang baik akan dibawa dalam Bajet 2023 dan kita serah kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memutuskan apakah tema bajet itu (dan) kandungan bajet itu.

“(Tema dan kandungan) akan diputuskan Menteri Kewangan tetapi Menteri Kewangan ada menyebut dua perkara iaitu ada urusetia yang akan menilai manifesto daripada parti yang ada di dalam Kerajaan Perpaduan dan mengekalkan beberapa kandungan Bajet 2023 yang diumumkan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pejabat Jabatan Kastam Dirama Malaysia di Kemaman sempena lawatan kerjanya di sini hari ini.

Perdana Menteri dijadualkan membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Menteri Kewangan di bawah pimpinan kerajaan sebelum ini, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober lalu.

Bagaimanapun, bajet itu tidak sempat dibahaskan dan diluluskan selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober.

Susulan pembubaran Parlimen, Bajet 2023 perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat secepat mungkin bagi memastikan belanjawan mengurus kerajaan awal tahun depan diluluskan.

BBerkaitan

Latest articles