KUALA LUMPUR: Pengerusi Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Perak, Mutalib Uthman digantung keahlian selama tiga tahun dan digugurkan daripada jawatannya berkuat kuasa semalam.
Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi, berkata perkara itu diputuskan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) parti susulan laporan yang diterima Lembaga Disiplin MUDA, membabitkan tindakan Mutalib yang melanggar arahan parti.
“Pada 30 Oktober 2022, Mutalib didapati menaikkan poster di akaun media sosial peribadinya dan MUDA Perak untuk mengumumkan niat untuk bertanding di Parlimen Tapah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menggunakan saluran dan poster rasmi parti, tanpa persetujuan parti.
“Tindakan ini didapati melanggar ketetapan MUDA dan melanggar Fasal 5 Tanggungjawab Ahli dalam perlembagaan MUDA, khususnya Fasal 5.1 (d), patuh dan menghormati keputusan-keputusan parti dan 5.1 (f), memelihara nama baik dan maruah parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amir berkata, JKEP turut menerima surat peletakan jawatan Pengerusi MUDA Pahang, Malani Manimaharan dan Pengerusi MUDA Pulau Pinang, Jazz Tan atas sebab isu komitmen dan kesihatan.
“Justeru, terdapat keperluan segera melantik pemangku bagi jawatan berkenaan dan pemangku Pengerusi MUDA Perak adalah Devadas Silvaraju, manakala pemangku Pengerusi MUDA Pulau Pinang, Tineshvar Boontinathan dan di Pahang, akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya.