PDRM Beri Amaran Jangan Sebar Komen Lama Berbentuk Provokasi Perkauman di Laman Media Sosial

KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan semula komen berunsur perkauman secara provokasi di media sosial atau mana-mana platform lain.

Setiusaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, perbuatan tersebut boleh menggugat ketenteraman serta keharmonian kaum.

Nasihat itu menyusul selepas pada 26 Disember lalu yang mana polis telah mengesan penularan semula imej tangkap layar komen yang berbaur perkauman melalui pelbagai platform media sosial termasuk Facebook dan aplikasi WhatsApp.

“Siasatan kami mendapati komen provokasi tersebut telah dimuat naik pada bulan Ogos 2019 oleh pemilik akaun Facebook “Nazrul Nazari”.

“Namun, ekoran daripada itu, seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun telah ditangkap pada 1 April 2022 dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorsiah turut memaklumkan, suspek didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Katanya, siasatan polis mendapati tangkap layar komen berbaur perkauman oleh Nazrul Nazari itu telah ditular semula oleh orang ramai di media sosial dan diihat sebagai satu perbuatan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Polis menasihati orang ramai agar tidak menularkan semula komen berbaur perkauman itu di media sosial. Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja mendatangkan khianat awam melalui isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles