Pelakon Nad Zainal yang dalam proses pemulihan selepas sebulan dirawat di hospital akibat paru-paru berdarah, mengaku rapat dengan Ungku Ismail Ungku Abdul Aziz dan menghargai usaha diambil teman seperjuangannya itu dalam menjaganya ketika sakit.
Nad memberi kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan pengikut TikTok Live dalam sesi ‘live’ pertama sekembalinya ke rumah selepas dirawat, mengenai hubungan mereka, malam tadi.
“Cukuplah saya cakap pada waktu ini, dia rapat dengan saya dan saya sangat menghargai orang yang bernama Ungku Ismail Aziz.
“Perkara lain saya tidak mahu jawab kerana tidak elok, apa pun dia banyak membantu serta memberi semangat dan menjawab segala spekulasi,” katanya.
Nad atau nama sebenar, Farah Nadia Zainal Abidin, 32, berkata, tindakan Ungku Ismail berkongsi perkembangan keadaan kesihatannya sepanjang dirawat mendapat keizinan keluarga.
Pada sesi ‘live’ itu, Nad menjelaskan usaha Ungku Ismail yang sering ke tampil mengemas kini keadaan kesihatannya ketika di hospital, bukan individu lain termasuk dalam kalangan ahli keluarganya.
Nad memberitahu, dia perlu menjelaskan perkara itu berikutan ada yang mempersoalkan usaha rakannya itu.
“Ramai sangat yang tanya kenapa Ungku Ismail selalu ‘update’ fasal saya?
“Sebenarnya pada waktu genting itu, ibu bapa saya diasak dengan pelbagai persoalan daripada saudara mara dan netizen.
“Mereka berada dalam keadaan tertekan sebab anak sakit. Papa memang ada mengeluarkan kenyataan, cuma Ungku dapat jelaskan dengan lebih terperinci, jadi papa beri laluan padanya untuk menjawab.
“Bagi saya, perkara itu tidak menjadi masalah kerana Ungku Ismail cuba meleraikan kekeliruan yang masyarakat hendak tahu,” katanya.
Tambah Nad, dia gembira apabila Ungku Ismail memberi maklumat mengenai perkembangan kesihatannya berikutan tidak berupaya melakukannya sendiri.
Sementara itu, Nad turut menjelaskan punca mengapa Ungku Ismail sekarang tidak lagi berkongsi keadaan kesihatannya kepada netizen.
Menurutnya, langkah itu diambil kerana terkilan dengan pelbagai andaian masyarakat termasuk dakwaan konon dia sudah meninggal dunia.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Ungku Ismail kerana sentiasa mengemas kini keadaan saya dalam media sosial.
“Cuma sejak akhir-akhir ini, kami berhenti berkongsi kerana ada yang kata saya sudah meninggal dunia, seolah-olah mendoakan pula.
“Ibu bapa mana yang tidak sedih apabila berita sebegitu keluar. Jadi, supaya keluarga saya lebih tenang, Ungku Ismail tidak lagi kongsi apa-apa agar saya dapat menjalani proses penyembuhan dengan lebih tenang.
“Biar saya sendiri ke depan seperti hari ini (malam tadi) untuk jelaskan sendiri kepada semua,” katanya.
Pada 21 November lalu, Nad dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan kuman dan paru-paru berdarah di sebuah hospital di Ampang.
Ketika ditempatkan di hospital, Nad pernah ditidurkan sebagai salah satu proses rawatan agar paru-paru kembali berfungsi dengan baik.
Pada sesi ‘live’ itu, Nad mengaku dirawat di tiga pusat perubatan berbeza iaitu sebuah hospital swasta di Ampang, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Institut Perubatan Respiratori Kuala Lumpur (IPR).