BATANG KALI: Genap seminggu hari ini, misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, empat lagi mangsa ditemui pada jam 10.39 pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, menerusi status terkini di laman Facebook rasminya memaklumkan, mangsa yang dijumpai terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan, seorang wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa.
Kesemua mangsa ditemui di sektor C iaitu di sekitar kawasan River Side.
Penemuan empat mangsa ini menjadikan angka korban tanah runtuh yang berjaya ditemui sebanyak 30 orang manakala tiga lagi baki mangsa masih belum ditemui.
Satu sidang media berkenaan perkara itu akan diadakan pihak bomba dan polis pada masa terdekat.