Identiti Sebenar Mayat Kanak-Kanak Perempuan Mangsa Tanah Runtuh Belum Dikenalpasti

BATANG KALI: Identiti sebenar mayat kanak-kanak perempuan yang ditemukan di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di sini, malam tadi masih belum dikenalpasti.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, proses bedah siasat mangsa akan dijalankan di Hospital Sungai Buloh (HSB), hari ini.

Menurut beliau, mayat kanak-kanak perempuan itu dianggarkan berusia antara enam hingga 10 tahun.

“Semasa dijumpai, mangsa memakai seluar tidur dan baju berwarna merah jambu.

“Turut dijumpai empat beg pakaian dan komputer riba, namun tiada pengenalan diri dijumpai dalam beg atau di samping mayat mangsa,” katanya dalam sidang media di lokasi hari ini.

Beliau berkata mayat terbabit ditemui tertimbus pada kedalaman lebih 17 meter daripada aras tanah.

Tambah Suffian, penemuan mayat mangsa itu menjadikan jumlah korban tanah runtuh kepada 25 orang.

Susulan penemuan itu juga Suffian berkata, pihaknya berharap ada perkembangan positif bagi meneruskan misi mengesan baki lapan mangsa yang dipercayai masih hilang.

“Ini satu ‘booster’ kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) untuk mencari mangsa lain. Kita juga menjalankan kaedah ‘sweeper’ di luar kawasan kejadian sebagai usaha menjejaki mangsa,” katanya.

Kata Suffian, operasi pada hari keenam yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diteruskan bersama lima agensi lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

BBerkaitan

Latest articles