Kalau UMNO Bentuk Kerajaan Dengan PN, Sudah Pasti Bersatu, PAS Jadi Abang Long

KUALA LUMPUR: UMNO mendapat kedudukan yang sewajarnya melalui Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

“Kita boleh lihat bagaimana PKR dan DAP boleh berunding dan bertolak ansur proses pembentukan kerajaan serta Kabinet.

“DAP berlapang dada untuk tidak menuntut kouta Kabinet yang lebih biar pun mereka ada ramai wakil dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Datuk Seri Anwar membentuk barisan menteri dan timbalan menteri yang solid.

“PH tak mengetepikan atau menganaktirikan UMNO dalam pelantikan menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan dengan menyaksikan wakil UMNO mendapat kouta yang sama rata dengan PKR dan DAP,” katanya.

Nur Jazlan percaya, keadaan yang sama tidak akan diperolehi UMNO jika parti itu membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

Bahkan sikap sebenar Bersatu dan PAS telah menonjol ketika bersama-sama UMNO dalam kerajaan apabila membolot kementerian penting untuk parti masing-masing.

Dakwanya lagi sudah tentu kedua-dua parti tersebut mahu menjadi jaguh kerana memiliki kerusi yang lebih banyak berbanding UMNO.

“Saya kenal sangat dengan perangai Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang yang masing-masing mahu jadi abang besar dalam pakatan dan UMNO akan jadi mangsa buli mereka.

“Pengalaman dalam kerajaan PN sudah cukup mengajar UMNO untuk tidak jatuh dalam lubang yang sama dua kali,” katanya.

Malah atas pengalaman bersama kerajaan sebelum ini, Nur Jazlan menegaskan pendirian UMNO untuk tidak bekerjasama dengan PN sepanjang pilihan raya yang lalu.

Sekiranya UMNO bergabung dengan PN pun, belum tentu parti itu mendapat kemenangan 30 kerusi.

Ini kerana menurut beliau, UMNO akan dipaksa menyerahkan banyak kerusi kepada Bersatu dan PAS.

“Daripada 165 kerusi (tolak kerusi di Sarawak dan Sabah) jika dibahagi kepada BN, Pas dan Bersatu dan Gerakan, mungkin UMNO cuma dapat bertanding kurang 50 kerusi selepas ditolak kouta untuk MCA dan MIC.

“Lebih perit lagi pastinya PAS dan Bersatu mahu bolot kerusi Melayu dan selamat untuk pastikan calon-calon mereka menang, sedangkan UMNO pula bakal terlepas banyak kerusi tradisi parti itu sejak tahun 1957,” kata Nur Jazlan.

Begitu juga dengan PAS yanh katanya, tidak akan mengalah untuk menuntut kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Manakala Bersatu pula ada kemungkinan untuk minta kerusi di Perak, Negeri Sembilan dan sebahagian Selangor.

Kerusi-kerusi yang dituntut adalah kerusi majoriti Melayu yang sememangnya menjadi rebutan tiga parti Melayu utama dalam PN

BBerkaitan

Latest articles