KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Machang dilantik semula sebagai Pengerusi Felcra.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelantikan Datuk Ahmad Jazlan itu dibuat selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.
Jelas beliau, biarpun Jemaah Menteri memutuskan supaya semua jawatan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan, atas kehendak ahli koperasi itu, pertimbangan bagi lantikan semula itu diberikan.
“Saya tak boleh untuk tak setuju untuk memberikan kepercayaan semula kepada (Datuk) Ahmad Jazlan. Dengan ini saya mengarahkan ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (Datuk Ramlan Harun) untuk mengeluarkan surat pelantikan semula dengan sesegera yang mungkin, tertakluk kepada persetujuan menteri kemajuan desa dan wilayah.
“Menteri sudah bersetuju atas arahan timbalan perdana menteri. Tidak mustahilah Datuk KSU segera menyempurnakan lantikan semula itu,” katanya menurut Berita Harian.
FELCRA Berhad pada 3 Oktober tahun lalu mengumumkan pelantikan Ahmad Jazlan sebagai pengerusi baharunya.
Lembaga Pengarah FELCRA Berhad berkata, pelantikan Ahmad Jazlan, 58, langkah strategik bagi memacu komitmen pengurusan tertinggi dalam menjayakan pelan transformasi dan hala tuju ke arah kelestarian syarikat.
Media sebelum ini melaporkan, memetik surat ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki, semua perkhidmatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah di bawah kuota lantikan politik akan ditamatkan dengan serta-merta.
Menerusi surat berkenaan, penamatan itu membabitkan jawatan bagi badan berkanun persekutuan, syarikat menteri kewangan (diperbadan), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).