KUALA LUMPUR: Kementerian Luar mengesahkan, tiga warga Singapura ditemui selamat di dalam misi mencari dan menyelamat yang dijalankan pihak berkuasa Malaysia dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, di sini.
Kementerian itu dalam satu kenyataan turut merakamkan ucapan takziah dan bersimpati atas kejadian yang menimpa mangsa dan seluruh ahli keluarga itu.
“Kerajaan Malaysia sedang giat berusaha untuk memastikan semua yang terjejas dalam tragedi itu diberi bantuan segera.
“Marilah kita semua berdoa untuk keselamatan mangsa yang terjejas dan mereka yang menjalankan operasi mencari serta menyelamat, ” kata kenyataan itu.
Semalam media melaporkan seramai 94 mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.24 pagi.
Seramai 21 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 lagi berjaya diselamatkan setakat tengah malam tadi.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki 12 mangsa yang masih hilang dalam tragedi tanah runtuh itu, disambung semula hari ini kira-kira jam 7.30 pagi.