Ni Hsin Tandatangan Perjanjian Perkongsian Perniagaan Dengan VSD Automation, Sahkan Motosikal EV Akan Dikomersial Januari 2022

SERI KEMBANGAN: Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV TECH), anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Bhd, hari ini memeterai Perjanjian Perkongsian Perniagaan (BPA) bersama VSD Automation Sdn Bhd (VSD) untuk pengedaran dan segmentasi pasaran Motosikal Kenderaan Elektrik EBIXON (EBIXON EV Bike) di pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengarah Urusan NH EV Tech, Khoo Chee Kong, berkata dengan kepakaran yang dimiliki VSD sebagai rakan kongsi, pihaknya menjangkakan sambutan yang menggalakkan ke atas EV Bikes atau motosikal EV dalam tempoh tiga hingga 10 tahun akan datang.

Model motosikal EV siap dipasang

“Kami gembira mempunyai VSD sebagai rakan kongsi untuk membangunkan pengedaran dan segmentasi pasaran produk (motosikal EV) di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kami yakin dengan keupayaan mereka untuk memasarkan Produk (motosikal EV) kerana mereka mempunyai pengalaman, kepakaran teknikal dan rangkaian bagi memenuhi keperluan.

“VSD juga berusaha untuk menjual 10,000 unit Produk dalam tempoh tiga tahun akan datang. Kami turut menjangkakan permintaan yang sihat untuk motosikal EV dalam tempoh tiga hingga 10 tahun akan datang,” katanya di sini hari ini.

Majlis Tandatangan Perjanjian Perkongsian Antara Ni Hsin dengan VSD Automation bagi produk TAILG EBIXON EV

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkongsian Perniagaan Dengan VSD Untuk Pengedaran Motosikal EV yang turut dihadiri oleh Abdul Hafiz Abd Rashid@Abd Khalid (Pengarah Eksekutif VSD); Ganasan Arumugan (Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas VSD); dan Rizvi Abd Halim (Pengarah Eksekutif NH EV Tech).

Majlis berlangsung di ibu pejabat dan kilang pemasangan produk, NH HSIN EV TECH, di sini hari ini.

Model motosikal EV siap dipasang 

Mengulas lanjut, Khoo yakin kerjasama dengan VSD juga dapat mengetengahkan penggunaan motosikal EV kepada pemain industri lain secara lebih luas sekaligus menggalakkan orang ramai memilih motosikal EV.

Motosikal EV belum siap dipasang 

Pada masa sama, Khoo berkata penggunaan motosikal EV lebih jimat selain memiliki teknologi hijau dengan menggunakan eletrik menggantikan petrol.

“Untuk menggalakkan pengguna memilih motosikal EV, maka syarikat dan pemain industri motosikal boleh mula memberi tumpuan kepada penggunaan motosikal EV.

“Penggunaan motosikal EV lebih jimat dari sudut penggunaan petrol dan servis berbanding motosikal biasa yang memerlukan petrol dan servis komponen-komponen terlibat seperti plug dan sebagainya.

“Pengguna motosikal EV juga hanya memerlukan penjagaan bateri dan servis tayar selain hanya membelanjakan dua ringgit untuk pengecasan dua buah bateri,”kata Khoo.

Tambah Khoo, kerajaan juga diharap dapat memberi galakan kepada masyarakat untuk menggunakan motosikal EV selain berharap agar Tenaga Nasional dapat mempertimbangkan untuk memberi servis pengecasan percuma kepada mereka yang menggunakan motosikal EV.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas VSD, Ganasan Arumugan berkata pihaknya turut menyokong usaha rakyat yang mahu menggunakan kenderaan EV khususnya motosikal EV ketika ini.

Malah, beliau yakin industri berkaitan EV akan berkembang lebih pesat dan meluas dalam pasaran di Malaysia akan datang susulan unjuran tarif elektrik terhadap rakyat dikekalkan.

“Jadi, kami sebagai pemain industri mahu memulakan usaha ini, kita kena mulakan daripada rakyat, yang mana menggunakan motosikal EV, tolong manfaatkannya, kerana industri ini dijangka akan berkembang.

“Sebagai pemain industri terbesar berkaitan infra dan pengecas EV, kita menyokong sebarang usaha ke arah teknologi hijau khususnya dalam bidang automotif.

“Jadi, kami menyokong usaha industri ini, dan menjadi pengedar terbesar NH EV TECH untuk memulakan pelaksanaan motosikal EV,” katanya.

Tambah Ganasan, usaha kerajaan mengekalkan tarif elektrik peringkat domestik ketika ini memberi peluang kepada rakyat untuk mula memilih teknologi elektrik yang bukan sahaja menjimatkan kos tetapi mesra alam sekitar.

Motosikal EV dicipta khas untuk industri p-hailing

Beliau turut menambah, penghantar barangan dan makanan atau p-hailing juga lebih memilih kenderaan EV ekoran lebih jimat dengan mendedahkan, penggunaan satu voltan bersamaan 30 sen mampu bertahan lima kilometer (km) perjalanan berbanding RM2.90 bagi 1 liter dengan jumlah sama.

Dalam pada itu, NH EV TECH turut mengesahkan bahawa Motosikal Kenderaan Elektrik EBIXON (EBIXON EV Bike) akan mula dikormersialkan bermula Januari tahun hadapan.

ENDS/

BBerkaitan

Latest articles