PKR Sedar Perubahan Landskap Politik, Mula Gerakan Kerajaan Perpaduan Sebelum PRU15

KUALA LUMPUR: PKR membawa konsep politik inklusif, dimana meramaikan kawan dan mengurangkan musuh yang menjadi faktor pendorong tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga menjelaskan usaha menubuhkan kerajaan perpaduan itu wujud sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi.

Ini kerana mereka sedar suasana politik negara semakin berubah, dan menyukarkan sesebuah parti atau gabungan politik meraih kemenangan majoriti.

Sehubungan itu Kerajaan Perpaduan yang menghubungkan parti kawan dan lawan iaitu Pakatan Harapan, Barisan Nasional serta parti-parti dari Sarawak dan Sabah berasaskan ‘kepercayaan dan hormat’.

“Berbeza pandangan ramai, usaha ini bukannya bermula pada tarikh keputusan PRU15 diketahui pada 19 November 2022.

“Kita sudah lama membaca perubahan lanskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan sendiri.

“Semua parti atau gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding,” jelas beliau.

Menteri Dalam Negeri itu juga berterima kasih kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan beliau peluang untuk mendokong pendekatan politik inklusif.

Saifuddin memaklumkan beliau diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti berteraskan kepercayaan dan hormat bermula dengan kepimpinan Pakatan Harapan.

Kemudian, dijayakan melalui hubungan peribadi dengan kepimpinan BN dan parti politik Sabah serta Sarawak.

“Sejurus keputusan PRU15 yang memaparkan tiada parti memperolehi majoriti pimpinan PH membuat ketetapan segera berunding dengan parti-parti lain.

“Menjadi pembangkang bukannya satu pilihan. PH mesti menjadi kerajaan dan Datuk Seri Anwar diletak sebagai Perdana Menteri.

“Bermula dari situ saya diarah mengatur gerak mendekati watak-watak utama parti-parti bukan PH yg telah memenangi sejumlah kerusi untuk diajak ikut serta,” jelas beliau dalam kenyataan.

Katanya, langkah yang diatur kali ini dalam membentuk kerajaan adalah lebih mudah kerana idea Kerajaan Perpaduan disyorkan tepat pada masanya oleh Yang Dipertuan Agong.

Saifuddin Nasution berkata, tiga pengajaran diperolehi daripada usaha membentuk Kerajaan Perpaduan.

“Sentiasa amalkan pendekatan politik terbuka. Politik itu dinamik justeru pendekatan politik juga harus fleksibel

“Hormat kawan dan lawan. Kita tidak tahu bila kita akan saling memerlukan.

“Sabar. Politik ini suatu marathon lambat mencapai destinasinya,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles