Sivaraj Tarik Diri Di Padang Serai

KUALA LUMPUR: Kurang seminggu sebelum tarikh pengundian Parlimen Padang Serai 7 Dis ini, calon Barisan Nasional (BN),C Sivaraj dikatakan telah menarik diri, sekaligus dipercayai memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH).

Memetik sumber seorang pemimpin BN, Sivaraj dikatakan membuat keputusan itu secara sukarela, selain bersedia berdepan dengan tindakan yang diambil.

Namun belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada Sivaraj dan BN berhubung status pencalonan itu.

“Dia memutuskan untuk menarik diri (pertembungan) semalam. Ia adalah keputusannya sendiri, kami tidak memaksanya.

“Keputusan itu mengecewakan beberapa pemimpin akar umbi yang dilaporkan telah bekerja keras untuk berkempen untuknya,” kata sumber itu.

FMT melaporkan pada pagi ini, petugas dilihat menurunkan sepanduk Sivaraj di beberapa jalan dekat Lunas.

Sedangkan jemputan ke ceramah bersama oleh pemimpin PH dan BN di Padang Serai malam ini telah dihantar.

Sivaraj sebelum ini menegaskan beliau tidak akan menyerahkan kerusi itu kepada PH dan akan terus berkempen.

Namun sehingga Rabu, beliau tidak menerima sebarang arahan daripada pucuk pimpinan BN untuk memberi laluan kepada pencabar lain.

Spekulasi mengenai penarikan diri daripada pilihan raya Padang Serai didorong lagi oleh ceramah bersama BN dan PH yang dianjurkan malam ini, majlis kedua mereka berkongsi pentas selepas pertama kali diadakan di DUN Tioman beberapa hari lalu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu, Ketua BN Kedah Jamil Khir Baharom, Ketua PH Kedah Mahfuz Omar dan calon PH Padang Serai, Sofee Razak, dijangka berucap pada ceramah tersebut.

Pilihan raya Padang Serai ditangguhkan pada 7 Dis ekoran calon PH M Karupaiya meninggal dunia beberapa hari sebelum pilihan raya umum 19 Nov.

Selain Sivaraj dan Sofee, calon lain turut bertanding ialah Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (bebas).

BBerkaitan

Latest articles