ROMPIN: Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, memberitahu keputusan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH) adalah kerana tiada sebarang syarat diletakkan oleh gabungan parti itu.
Wan Rosdy berkata, sebaliknya dengan Perikatan Nasional (PN) yang meletakkan banyak syarat kepada BN dalam rundingan untuk membentuk kerajaan negeri bersama.
Tambah Wan Rosdy, antara syarat itu beliau akan diberi jawatan menteri penuh bertaraf senator, manakala jawatan Menteri Besar dan Yang Dipertua Dun diberi kepada PN, sementara Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dibahagi secara sama rata dan tiga ahli dewan undangan negeri (Adun) lantikan juga diberikan kepada PN.
Bagaimanapun, Wan Rosdy berkata, PN kemudiannya menawarkan jawatan Menteri Besar kepada BN selepas dimaklumkan PH tidak meletakkan sebarang syarat dalam pembentukan kerajaan negeri.
“Saya kira-kira dan lihat ini bukan hendak berbincang tetapi sudah ditetap dan ditentukan… kalau saya setuju dengan permintaan mereka. Di Dun Pahang ada 42 kerusi, kalau saya setuju mereka akan ada 22 undi di Dun yang boleh menyebabkan saya tersingkir pada bila-bila masa.
“Jadi (jika ia berlaku) apa akan berlaku pada kerajaan negeri? Kita hendak tubuhkan kerajaan negeri kerana nak teruskan agenda kita untuk bekerja, teruskan kestabilan dan kemakmuran. Banyak agenda hendak dilakukan, bukan untuk politiking.
“Keputusan untuk bersama PH bukan keputusan saya seorang. Saya bawa dalam perbincangan dengan rakan-rakan Adun, dalam Badan Perhubungan Umno… saya ceritakan apa yang berlaku dan kami Adun dan BN Pahang sebulat suara bersetuju nak bersama dengan PH,” katanya semasa berucap pada Ceramah Umum PRU-15 Dun Tioman dan Pasar Besar Rompin di sini, hari ini.
Turut hadir dalam ceramah tersebut ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; Presiden Amanah Mohamad Sabu; dan bekas ahli parlimen Kuala Nerang, Datuk Khairuddin Aman Razali.
Buat kali pertama di Pahang, menyaksikan BN dan PH berkongsi pentas pada ceramah pilihan raya.