KUALA LUMPUR: Selepas diberikan teguran oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim, akhirnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hadir ke persidangan, hari ini.
Ahli DUN Bukit Antarabangsa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu membuat kemunculan pertama selepas tewas di kerusi Parlimen Gombak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.
Malaysia Gazette melaporkan bahawa Azmin tidak hadir ke mesyuarat ketiga persidangan penggal kelima Dewan Negeri Selangor ke-14 yang bermula sejak 23 November lalu DUN sejak minggu lepas.
Kehadiran Azmin disedari petugas media selepas beliau bangkit mencelah mengajukan soalan tambahan kepada Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan & Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman.
Antara soalan tambahan yang diketengahkan Azmin ialah apakah langkah-langkah kerajaan negeri untuk memastikan tenaga pekerja tempatan di Selangor dapat memenuhi permintaan industri pada hari ini seperti ekonomi digital dan sektor-sektor baharu.
Beliau turut bertanyakan tentang langkah-langkah kerajaan negeri untuk menjajarkan usaha selari dengan dasar pelaburan negara yang memberikan tumpuan kepada lima sektor utama iaitu automotif, farmasutikal, E&E Digital dan industri Kimia.
“Saya percaya kalau langkah ini dapat diselarikan, ianya pasti dapat memenuhi hasrat kita pada pagi ini untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan untuk anak-anak Selangor yang berkualiti dan berpendapatan tinggi untuk menjamin masa depan mereka,” katanya ketika sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.
Azmin juga berkata, langkah untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan baharu dalam kalangan anak muda dan rakyat boleh mengekalkan Selangor sebagai hub pelaburan di rantau ini.
“Saya ucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Bandar Baru Klang dan Invest Selangor yang sentiasa menjalinkan kerjasama yang cukup baik dengan MIDA.
“Ini bagi memastikan pelaburan-pelaburan berteknologi tinggi dapat masuk ke dalam Selangor dengan harapan dapat mencipta peluang pekerjaan baharu yang bukan sahaja berteknologi tinggi bahkan berkemahiran.
“Tetapi hasrat Dewan ini adalah untuk mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga pekerja asing,” katanya lagi.