KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menggesa pemimpin Pakatan Harapan (PH) tidak terpengaruh dengan gerakan pihak di dalam Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya sedang cuba untuk menggagalkan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang disertai oleh parti-parti Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan parti dari Sabah dan Sarawak.
“Sejak Yang di-Pertuan Agong melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, PN telah mengeluarkan pelbagai kenyataan untuk provoke respon daripada parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Mereka sedang kerja kuat untuk gagalkan kerajaan ini. Saya fikir, kita jangan termakan umpan mereka,” demikian memetik ciapan wakil rakyat DAP itu di Twitter.
Dalam masa yang sama Syahredzan mengingatkan pemimpin Kerajaan Perpaduan tidak perlu membuat kenyataan balas terhadap kata-kata yang dilemparkan oleh pemimpin PN.
Jika berterusan, mereka boleh bertindak balas antaranya dengan membuat laporan polis.
“Jangan termakan provokasi tapi tak bermakna kita jangan buat apa-apa dan biarkan. Tapi pemimpin tak perlu buat kenyataan balas.
“Laporan polis, saman fitnah, lawan naratif sebagainya perlu berjalan. Tapi pemimpin jangan cepat melatah sampailah kita betul stabil,” katanya.
Beliau mengulas ciapan beberapa pengikutnya di Twitter berhubung beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin PN yang antaranya dilihat menyerang DAP.
Terbaharu kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa DAP mempromosikan Islamofobia dengan memfitnah parti Islam itu.