PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata Jemaah Menteri yang akan dilantik perlu bebas daripada kes mahkamah.
Nik Nazmi berkata, mana-mana individu yang mempunyai kes mahkamah walaupun belum ditentukan bersalah tidak patut berada dalam Kabinet.
“Yang terbaik dan paling ideal, saya fikir tidak letakkan mereka (yang ada kes mahkamah) dalam Kabinet supaya tidak timbul isu kelak, selain rakyat sangat tekankan selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu hingga kini adalah soal rasuah,” katanya menurut Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau berkata setiap parti politik mempunyai Ahli Parlimen yang mampu dan layak untuk memegang jawatan atau portfolio menteri, termasuk menteri kanan dan timbalan perdana menteri.
Katanya, pemilihan ahli Kabinet kelak perlu meneliti semua faktor memandangkan kerajaan yang ditubuhkan adalah berbentuk perpaduan.
Semalam, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyokong cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Razlan Muhammad Rafii yang mahu Ahmad Zahid Hamidi menjadi timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan perpaduan.