Pemuda UMNO Cadang Tok Mat TPM, Beri Peluang Kepada KJ, Nurul Izzah, Fahmi

KUALA LUMPUR: Berdasarkan kredibilitinya sebagai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan layak diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan.

Cadangan itu disuarakan Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin sambil menambah faktor kemenangan besar Mohamad di Parlimen Rembau dan pengamalan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang mampu memberi impak positif.

“Saya yakin rakyat dapat menerima Tok Mat (Mohamad Hasan) dan beliau dapat bersama membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memimpin Kerajaan Perpaduan menangani kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku tahun depan.

“Cabaran politik kini amat berbeza dan dinamika yang berlaku pada PRU 15 ini cukup luar biasa. Jadi gandingan baik dan mantap ini, pasti dapat mengekalkan kestabilan politik negara untuk beberapa tahun mendatang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan di bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.

Anwar berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Dalam pada itu, menyentuh mengenai barisan Kabinet, Muqharabin berkata, antara pemimpin muda yang perlu diberikan ruang termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.

“Jika ingin melihat sebuah perubahan politik baharu buat negara, Perdana Menteri perlu berani mengangkat pemimpin muda untuk bersama beliau dalam mengemudi negara supaya setiap lapisan rakyat tidak tertinggal.

“Saya hanya mengharapkan kerajaan ini dapat membawa perubahan negara ke arah kemajuan yang mapan dan mengembalikan keyakinan pelabur kepada Malaysia.

“Pada masa sama, keharmonian kaum antara semua bangsa di dalam pelbagai parti, dapat diterjemahkan ke arah kemakmuran yang sewajarnya serta sentiasa hormat menghormati sesama kita.

“Jangan lagi ada kenyataan berbaur perkauman dan mengganggu gugat ketenteraman awam selepas ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles