KUALA LUMPUR: Kegagalan membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lalu tidak seharusnya terus diratapi, demikian menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin mengajak semua ahli gabungan itu bergerak ke hadapan menghadapi setiap ujian yang menimpa.
Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa setiap ahli supaya terus menyemarakkan api perjuangan agar tidak terpadam.
Dalam satu hantaran di Facebooknya malam tadi, sambil berkongsi foto memeluk isterinya, Muhyiddin berkata dirinya sebak mengenangkan sokongan tidak berbelah bahagi oleh rakyat terhadapnya dalam perjuangan ini.
“Di saat memeluk isteri saya ini, saya bukan sahaja berasa tenangnya hati, lapangnya dada, reda takdir Ilahi. Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial.
“Saya tahu saya bukan sendiri. Bersama dengan saya adanya saudara dan saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.
“Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia. Perjuangan murni yang didasari tekad menyelamatkan negara. Perjuangan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara kita.
“Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang. Kita tidak akan berhenti dari terus berjalan dek kerana ujian yang melanda,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, malam ini.
Bekas Perdana Menteri itu yakin masih terdapat ruang dan peluang untuk diperbaiki.
“Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama.
“Moga saudara saudari, sentiasa berada di dalam lindungan Allah SWT dan semoga perjuangan kita semua diredhai Yang Maha Esa.
“Terima kasih semua rakyat Malaysia. Ikhlas daripada saya, Muhyiddin Yassin. Kekal berjuang,” katanya.