KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin menegaskan bukan baru-baru ini sahaja dirinya bersikap lantang dan mengkritik Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ujarnya, tindakan melawan Ahmad Zahid itu bermula tahun 2018 ketika beliau sendiri bertanding merebut jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti, tahun itu.
“Kenapa sekarang baru nak bersuara?” 2018 saya lawan @DrZahidHamid untuk Presiden UMNO,” ciap KJ di Twitter.
Khairy dilihat lantang mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan selepas Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk pada Sabtu lalu.
Malah bekas Menteri Kesihatan itu juga menegaskan Ahmad Zahid tidak lagi mempunyai keabsahan moral selaku Presiden UMNO untuk terlibat sama dalam perundingan membentuk kerajaan.
Dalam pada itu Khairy menegaskan adalah haknya untuk bersuara dan mengkritik kepimpinan parti.
“Saya masih ahli UMNO. Ahli UMNO ada hak bersuara,” katanya lagi.