KUALA LUMPUR: Selain perlu menjadi matang dan para pemimpinnya tidak terlalu beremosi, UMNO juga dinasihatkan untuk bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sebahagian daripada kerajaan termasuk menerimanya menjadi Perdana Menteri.
Gesaan itu disuarakan bekas Menteri Undang-undang, Datuk Seri Zaid Ibrahim, sambil menegaskan Anwar layak mendaoat sokongan sebagai PM memandangkan beliau mendapat kerusi terbanyak, pada PRU15.
Zaid turut menyifatkan, tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yang mahu membentuk kerajaan bersama UMNO merupakan penghormatan kepada parti.
“Tawaran itu diberi kepada Ahli Parlimen yang menang, isu ini tertumpu pada Ahli Parlimen, yang bukan Ahli Parlimen diam-diam sudah lah. Usah kelirukan isu.
“Saya harap pemimpin Umno fikir tak mudah jadi pembangkang…cakap boleh. Di Kelantan kita jadi pembangkang 30 tahun apa kemajuannya? Apakah dapat dilaksanakan sebagai pembangkang? Dan kita tewas Kedah, Kelantan, Terengganu…’total loss’ (kalah teruk),” katanya dalam video dimuat naik dalam Facebook.
Dalam hantaran yang sama, Zaid mendakwa UMNO terlalu lama diseludupi musuh dengan sekian lama pula ada pemimpin tertinggi menjadi ‘mole’ dalam parti.
“Buat keputusan dengan matang jangan emosi semata-mata kerana kita tak dapat jawatan tertentu dan sebagainya. Dalam konteks anti-lompat ini kena ikut arahan parti, itu intipati anti-lompat. Kalau kita terima hakikat Westminster ketua parti (parti whip) mereka kena ikut, iaitu Zahid (presiden UMNO dan pengerusi Barisan Nasional).”
Katanya, UMNO perlu memikirkan kepentingan negara dan bukan ego.
Semalam, pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengadakan pertemuan bersama pemimpin PH, di Hotel Seri Pacific, untuk membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, timbul desakan bercampur antara kumpulan menyokong dan menentang usaha itu.