KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memaklumkan ia telah selesai mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberi laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan Persekutuan.
Ia disahkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan
berkata, surat akuan itu diserahkan hari ini kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.
Ia kemudiannya akan dipersembahkan kepada Istana sepertimana dititahkan semalam oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
“PN selesai kemukakan Surat Akuan Berkanun lebih 112 Ahli Parlimen,” katanya secara ringkas dalam kenyataan, hari ini.
PRU15 pada Sabtu lalu menyaksikan PN memperolehi 73 kerusi Parlimen.
Bagaimanapun tiada parti bertanding memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.
Senario tersebut menyaksikan PN mengadakan rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa ahli Parlimen daripada BN dan Bebas dalam usaha menubuhkan kerajaan Persekutuan.