KOTA TINGGI: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan dakwaan kononnya wujud perbincangan antara kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) berhubung soal bergabung dengan mana-mana parti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ujarnya, BN sedang dalam pecutan terakhir kempen PRU15 sebelum hari pengundian berlangsung Sabtu ini
“Tak ada (perbincangan). Saya di kawasan, mana ada (perbincangan) kita ‘Top 5’, memang tak ada.
“Semua ini (bergabung) timbul daripada pihak lain. Memang tak pernah (bincang) sebab kita masing-masing sibuk berkempen,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra bersama Veteran UMNO Kota Tinggi di FELDA Pasak, hari ini.
Dalam pada itu, calon BN Parlimen Kota Tinggi itu percaya isu bergabung antara parti itu dibangkitkan kerana parti lain melihat BN akan menang dalam PRU15.
Katanya, parti lain dilihat cuba memposisikan kedudukan masing-masing seolah-oleh mahu BN melamar mereka.
“Saya percaya semua itu (bergabung) dibangkitkan kerana mereka lihat BN akan menang, jadi semua sudah cuba memposisikan parti masing-masing supaya agaknya mahu BN melamar mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Perikatan Nasional (PN) yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain terutama BN selepas PRU15.
Takiyuddin dilaporkan berkata, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.
Bagaimanapun, kenyataan itu kemudian disanggah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyatakan mereka bertanding pada PRU15 untuk menang dan menubuhkan kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (PH).