GOMBAK: Parlimen Gombak bakal menyaksikan saingan sengit di antara lima calonnya pada Pilihan Raya Umum ke-15, Sabtu ini.
Kerusi yang disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selama tiga penggal ini menjadi perhatian ramai setelah beliau digelar ‘pengkhianat’ kerana melarikan kerusi yang dimenangi sekian lama ini atas tiket PKR.
Kini Mohamed Azmin menyertai Bersatu, dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya parti itu setelah beliau juga di antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menggerakkan Langkah Sheraton pada tahun 2020, menyaksikan kejatuhan kerajaan 22 bulan gabungan itu selepas menang PRU14.
Tumpuan pastinya terarah kepada Mohamed Azmin, apakah beliau mampu mengekalkan kemenangan buat kali keempat di Parlimen berkenaan.
Tinjauan The Rakyat Insight ke Gombak baru-baru ini mendapati perang bendera di antara parti dan calon yang bertanding amat meriah.
Selain Mohamed Azmin, turut bakal merebut kerusi Parlimen itu adalah Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional), Datuk Seri Amirudin Shari (Pakatan Harapan), Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Pejuang) dan calon Bebas, Zulkifli Ahmad.
Dalam pada itu, salah seorang pengundi di Parlimen Gombak menyuarakan keinginannya untuk melihat pemimpin baru bagi mewakili orang-orang Gombak.
Kamariah saidi, 72, menyatakan calon BN, Megat Zulkarnain mempunyai peluang untuk menang di situ, atas sikap dan jasanya kepada masyarakat setempat.
Bahkan tanpa sebarang peruntukan sebagai wakil rakyat, bantuan dari Megat Zulkarnain disalurkan untuk kemudahan penduduk setempat.
Paling diingati pesara berkenaan adalah, projek jejambat yang menghubungkan dua buah sekolah, hasil jasa Megat Zulkarnain yang sepatutnya dilakukan oleh Mohamed Azmin selaku wakil rakyat di sana.
“Banyak jasa dia (Megat Zulkarnain) lakukan. Contohnya di Flat Pinggiran Batu Caves, beliau tolong cat flat lima tingkat berkenaan.
“Malah jejambat di hadapan Sekolah Kebangsaan Taman Sri Gombak 1 dan Sekolah Kebangsaan Taman Sri Gombak 2, dia yang tolong buat. Atas permintaan penduduk setempat sebab susah nak melintas jalan, ada juga kes kemalangan di kawasan itu.
“Malah dia selalu tolong orang sakit, golongan asnaf, mereka yang memerlukan bantuan anak-anak bersekolah, malah tolong tarkan jalan motor yang berlopak-lopak di Jalan Sri Makmur,” katanya ketika ditemui.
Ditanya bagaimana khidmat Mohamed Azmin sepanjang menjadi wakil rakyat di sana, Kamariah mendakwa banyak janji yang tidak ditunaikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu.
“Azmin pernah berjanji nak bagi bantuan kepada satu persatuan ini, namun sampai sekarang tak dapat,” luahnya.
Sementara itu, Institut Darul Ehsan (IDE), dalam satu keputusan kajian lapangan yang dijalankan mendapati Mohamed Azmin bakal tewas kepada pencabar utamanya, Amirudin.