SHAH ALAM: Penyelesaian kepada masalah asas seperti banjir, jalan raya dan bekalan air akan menjadi keutamaan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Isham Jalil jika menang PRU15, Sabtu ini.
Beliau berkata, tiga masalah asas ini masih gagal diselesaikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor yang mendakwa mengutip kira-kira RM3 bilion setiap tahun sepanjang pentadbirannya.
“Selain mengutip jumlah hasil yang tinggi, Selangor juga menerima peruntukan untuk projek Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dari kerajaan pusat, tapi jalan tidak dibaiki.
“Kalau Selangor diuar-uarkan sebagai negeri maju dan Shah Alam pula sudah membangun, takkan perkara asas seperti banjir, jalan raya dan bekalan air tidak dapat diselesaikan,” katanya di sidang media di Wisma Rozali, hari ini.
Isham dijemput Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Selangor (DPPMS) untuk mendengar usul Majlis Pimpinan Tertinggi dewan itu berhubung isu semasa di Selangor dan Shah Alam khususnya.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, Shah Alam mempunyai kawasan yang luas dan berstatus bandaraya, tetapi kemudahan asas itu tidak dapat diselesaikan.
“Sepanjang pusingan pertama kempen saya bermula selepas penamaan calon 5 November lalu, saya jumpa dengan pelbagai peringkat masayarakat. Ada B40, M40 dan sebagainya.
“Semua ini perlu diberi pembelaan dan perhatian. Insya-Allah, saya akan lakukan,” katanya.