KUALA LUMPUR: Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan para pengundi untuk tidak termakan janji-janji Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15 ini.
Apatah lagi Bersatu sendiri berpakat dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRU14, malah lebih teruk tidak mengotakan janji manifesto selepas menang.
“Itu yang saya cakapkan, jangan lupa Bersatu juga adalah sebahagian daripda PH. Dia juga yang merangka manifesto yang tidak ditepati.
“Tetapi orang lupa Bersatu sudah keluar dari PH dan adalah pengkhianat,” katanya pada sidang media BN Comms di sini hari ini.
Terdahulu Mohamad diminta mengulas kempen yang meminta mengundi PN sebagai pilihan kepada PH walaupun Bersatu pernah berada dalam kerajaan PH sebelum ini.
Mohamad juga mengingatkan rakyat Kerajaan BN jatuh kerana hasutan fitnah oleh Bersatu sebelum PRU14.
“Bersatu jangan ingat tiada dosa dan orang mesti ingat bahawa mereka adalah sebahagian daripda PH.
“Dan sekarang masuk PN macam tidak ada apa-apa dan suci. Padahal merekalah bersama PH dulu,” katanya.