KUALA LUMPUR: Kegagalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar mengemukakan bukti menunjukkan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima RM300 adalah satu penghinaan kepada pasukan keselamatan negara inj.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga menyifatkan tindakan Anwar sebagai tidak bertanggungjawab dalam usaha meraih sokongan pengundi.
“Ini adalah antara kenyataan yang paling tidak bertanggungjawab dan berniat jahat yang dikeluarkan oleh mana-mana ahli politik sepanjang tempoh berkempen PRU-15.
“Anwar tidak menunjukkan apa-apa bukti untuk menyokong tuduhan jahat ini. Ia adalah tuduhan melulu, tanpa asas atau bukti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kelmarin Anwar yang mendakwa kononnya ada anggota tentera di Bera, Pahang, sudah mengundi awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), dan dibayar RM300.
Untuk rekod, terdapat 146,737 pengundi tentera dan pasangan mereka yang layak mengundi dalam PRU15.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata Anwar turut menggelarkan anggota tentera sebagai perasuah.
Tegasnya gelaran tersebut tidak sepatutnya dibuat kerana anggota tentera adalah individu yang menggadai nyawa mereka untuk menjadi keselama negara.
“Wira-wita ini sepatutnya dipuji, dan bukan dihina sebagai pemakan rasuah tanpa apa-apa bukti atau keterangan.
“Adalah jelas bahawa Anwar semakin terdesak kerana jelas PH kurang mendapat sokongan daripada rakyat semasa tempoh berkempen,” tegas pencabar Anwar di Parlimen Tambun.
Ahmad Faizal turut mempersoalkan samada Presiden PKR itu bersedia untuk menarik balik dakwaan beliau.
“Apakah cerita dongeng mengenai rasuah pilihanraya ini akan dijadikan alasan bagi menuduh bahawa pilihanraya tidak adil, jika PH kalah dengan besar pada 19 November?
“Akhirnya, adakah Anwar bersedia menarik-balik penghinaan terhadap anggota tentera negara serta keluarga mereka dan meminta maaf secara terbuka?, soal Ahmad Faizal lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta Anwar menarik balik tuduhan itu dan memohon maaf kepada anggota ATM, kerana menuduh mereka menerima wang.